Wednesday, 3 October 2012

SENI TARI JOGET

Di Terengganu, perkembangan Joget Gamelan bermula dari zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III iaitu semasa temasya perkahwinan baginda dengan Tengku Long ( puteri sulung Sultan Ahmad Pahang ) pada 4 November 1885. Persembahan Joget Gamelan diadakan untuk menyerikan lagi majlis tersebut. Setelah menyaksikan persembahan itu, baginda sendiri telah menunjukkan minat yang besar terhadap kesenian ini. Seterusnya untuk keperluan beberapa acara di negeri Terengganu dalam tahun-tahun berikutnya baginda telah meminjam dari Lingga satu set alat-alat gamelan bersama pemain-pemainnya kecuali penari-penari. Baginda tidak meminjam alat gamelan dari Pahang disebabkan perhubungan baginda dengan Kesultanan Pahang telah renggang dengan terputusnya jodoh baginda dengan Tengku Long pada tahun 1892. Peristiwa yang lain di mana persembahan Joget Gamelan di istana Terengganu ialah pada tahun 1893 apabila baginda mengahwinkan puterinya Tengku Jebah dengan putera saudaranya Tengku Kecil Besar Riau. Temasya perkahwinan ini berlangsung selama 40 hari 40 malam. Hubungan yang erat di antara Kerajaan Terengganu dan Kerajaan Riau bukan hanya setakat hubungan perkahwinan dan kekeluargaan diraja tetapi dapat dilihat daripada sudut tradisi nobat di Terengganu.Menurut Haji Mohd Salleh bin Haji Awang dalam bukunya yang berjudul ‘ Terengganu Dari Bentuk Sejarah ‘ mengatakan nobat Terengganu berasal dari Riau dan dibawa masuk ke Terengganu dalam masa pemerintahan Sultan Muhammad Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III sultan Terengganu Ke-12 memerintah Terengganu 1918 - 1920T.M.



No comments:

Post a Comment