SENI TARI MAIN PUTERI
Memang tidak ramai yang tahu mengenai Main Puteri atau Ulik Mayang.
Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di bandar berbanding mereka yang
tinggal di Kampung.Bagi golongan masyarakat yang lebih berumur mungkin
mereka pernah mendengar tentang Main Puteri(Main Peteri) dan Ulik Mayang
ini. Ia merupakan satu kaedah perubatan Tradisional orang Melayu untuk
tujuan perubatan.Tradisi ini telah muncul sejak dahulu terutamanya di
Terengganu dan Kelantan. Kaedah Perubatan tradisional ini mempunyai
unsur syirik dan tahyul kerana terdapat bacaan jampi mantera oleh Tok
Puteri, orang yang bertanggungjawab mengepalai Main Puteri.
Kebiasaannya di kampung-kampung, berita tentang main puteri tidak begitu
tersebar, hanya dari mulut ke mulut. Suasana di tapak main puteri
meriah dengan kehadiran ramai orang yang teruja untuk menyaksikan
sesuatu yang jarang berlaku ini. Di atas khemah main puteri digantung
sesuatu barang yang mungkin berkait dengan ritual ini. Di suatu sudut
juga, terlihat seorang pesakit terbaring dan lesu. Kedut wajahnya
seperti sudah lama terlantar sakit. Seorang lelaki berdiri dan mulutnya
terkumat-kamit membaca sesuatu yang tidak begitu difahami diiringi
dengan tiupan seruling dan paluan gendang, rebana dan Gong.
Tok Puteri mula menari mengikut rentak. Setiap gerak geri tarian ini
nampak tidak teratur namun mempunyai kaitan dengan rentak muzik yang
dimainkan. Tarian ini seperti memanggil roh untuk meresap ke dalam badan
pesakit. Namun tidak ada respon dari pesakit, Tok Peteri berhenti
menari dan muzik pun berhenti seketika. Kali kedua Tok Peteri menari
lebih rancak, lenggoknya berbeza dari yang tadi. Terasa meremang bulu
roma melihat tarian kedua ini. Kali ini pesakit menunjukkan reaksinya.
Agak pelik kerana orang tua yang uzur berbaring tadi mula
melenggok-lenggokkan badan mengikut alunan rentak muzik. Ke Kiri dan
kanan. Selepas itu, pesakit itu tunduk memilih makanan yang disediakan
di situ, dipilihnya ayam panggang bukan pulut kuning.Setelah ritual
berakhir keluarga pesakit membawa pesakit pulang. Keadaannya lebih baik
daripada sebelumnya.
No comments:
Post a Comment